Thursday, July 31, 2008

SEPINTAS LALU BERKAITAN MUZAKARAH/MUQABALAH UMNO-PAS


KOLEKSI I


Mursyidul Am Tidak Mahu Sejarah Hitam Berulang

Kota Bharu 21 Julai - PAS dibimbangan akan menjadi kera sumbang manakala di kiri kanan pula kena marah sekiranya meneruskan muzakarah dengan pimpinan UMNO.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, apabila berlaku muzakarah penyokong kita marah kepada PAS dan orang Pakatan Rakyat juga curiga.

Oleh itu bagi mengelakkan kekecewaan penyokong, muzakarah antara PAS dan Umno dianggap tidak perlu bagi mengelak berulang sejarah hitam yang pernah berlaku sebelum ini.

"PAS akan lebih berhati-hati agar tidak terkena perangkap Umno kali kedua. Itu bukan cara parti yang memperjuangkan Islam berpolitik di mana cara berkenaan tidak ubah seperti menolong pihak lawan dan bukannya untuk menjaga kestabilan parti.

"Itu perangkap namanya,"katanya pada persidangan media di Kota Darulnaim petang ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mendedahkan muzakarah bersama PAS sudah tiga kali diadakan bagi membincangkan beberapa isu berkaitan agama dan orang Melayu.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebelum ini menegaskan muzakarah yang dicadangkan perlu bersyarat di mana Umno perlu meminta maaf secara terbuka kepada PAS terhadap banyak kesalahan yang dilakukan sebelum ini.

Beliau berkata, PAS tidak akan menerima nasib buruk diperangkap Umno kali kedua, cukup hanya sekali.

"Umno sekarang sudah lemas dan dia nak minta tolong PAS, sedangkan PAS sendiri bekerja keras untuk melemaskan Umno, tetapi apabila Umno lemas sekarang kita nak angkat dia balik, itu bukan kerja kita.

"Biar lemaslah dia, dah 50 tahun kita lawan Umno, bila dia lemas kita lanyak dia...sepatutnya begitu," ujarnya.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan meminta anggota parti menyoal diri masing-masing sama ada mereka ingin menjaga parti atau Islam.

Katanya, sekiranya hanya untuk menjaga parti, ia bukan hala tuju perjuangan parti yang sebenarnya.

"Kita nak jaga Islam, jaga Umno apa yang akan kita dapat. Umno ni sebenarnya parti yang melonggarkan iman, orang Melayu selama ini longgar kerana Umno.

"Tetapi kalau PAS nak jaga Islam, bukan caranya untuk PAS bekerjasama dengan Umno, sebab parti itu parti sekular yang hanya memperjuangkan dasar untuk dunia semata-mata,"ujarnya.

Katanya, soal bangkit dari kubur dan akhirat tidak pernah menjadi hala tuju dan perbincangan di kalangan pemimpin Umno.

Ditanya isu muzakarah sengaja diperbesarkan media, beliau berkata, ia sudah menjadi agenda media untuk melariskan jualan.

"Itu kerja orang surat khabar, dia akan berbuat sesuatu untuk melariskan akhbar masing-masing, itu jelas.

"Jadi untuk melebarkan perjuangan PAS hanya melalui ceramah dan internet. Apa yang menjadi isu di media sekarang kerana mereka mempunyai agenda sendiri, sebab semua suratkhabar harian proUmno belaka," ujarnya.

Beliau juga turut menafikan wujud perbezaan pendapat antara beliau dengan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam isu muzakarah.

Katanya, kewujudan berbezaan pandangan tidak bererti parti itu mengalami masalah kepemimpinan.

"Sehingga hari ini ia tidak menjadi masalah, sebab kita hidup tidak boleh senyap, banyak mana yang kita nak luah, kita luahkan, kemudian kita dengar balik.

"Sekarang masing-masing sudah meluahkan pandangan, jadi terpulang kepada penyokong untuk membuat penilaian,"ujarnya.

Beliau juga berkata, biar pun sudah ada pertemuan pemimpin PAS dengan Presiden Umno, ia tidak bererti sudah ada persefahaman antara kedua-dua parti tersebut.

Ditanya adakah beliau kecewa dengan tindakan pemimpin PAS mengadakan pertemuan dengan pemimpin tertinggi parti Umno beliau berkata, tidak juga.

"Benda atas dunia ni begitulah, masalah perkara biasa berlaku seperti dalam rumah tangga antara suami isteri, kesilapan dilakukan suami adakalanya tidak disedari.

"Saya setuju benar biar Umno jadi pembangkang bukan sahaja di Kelantan, tetapi di seluruh negara termasuk di peringkat pusat,"ujarnya.

Beliau juga meminta ahli parti dan penyokong Pakatan Rakyat bertenang dalam menghadapi situasi sekarang serta tidak mudah termakan taktik yang dimainkan musuh.

Mursyidul Am juga berharap perwakilan membahaskan isu tersebut di Muktamar PAS di Ipoh Ogos depan

http://kelantan.pas.org.my/index.php?option=com_content&task=view&id=146&Itemid=36


KOLEKSI II

Kenyataan akhbar Dewan Pemuda PAS Negeri Johor

Pemuda PAS JOHOR Menyokong Keputusan Agar Muzakarah PAS-UMNO Dihentikan

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor telah mengadakan mesyuarat khas pada 23 Julai 2008 pukul 9.30 malam untuk membincangkan satu perkara iaitu muzakarah di antara PAS dan UMNO. Mesyuarat khas ini diadakan sehari selepas Dewan Pemuda PAS Pusat mengadakan mesyuarat yang sama.

DPPNJ telah mengambil beberapa keputusan seperti berikut :

1. Menyokong penuh keputusan pimpinan tertinggi PAS yang sebulat suara menolak muzakarah UMNO-PAS dan menolak sebarang dialog kerjasama politik hedua-dua parti.

2. Menyokong keputusan DPPP yang mahukan PAS kekal dengan Pakatan Rakyat dan menentang sebarang usaha sekiranya muzakarah yang hendak diadakan menjurus dan memfokuskan kepada agenda kerjasama politik ataupun perkongsian kuasa di antara PAS dan UMNO.

DPPNJ juga telah mengarahkan agar Dewan Pemuda PAS Kawasan mengambil tindakan segera untuk memberikan taklimat kepada seluruh pemuda PAS di peringkat kawasan terhadap isu ini agar pemuda PAS tidak terkeliru dengan isu muzakarah ini.

Di samping itu, mesyuarat khas DPPNJ ini juga bersetuju supaya :

i. PAS Pusat mengadakan Taklimat Khas Presiden kepada seluruh pimpinan PAS daripada peringkat Pusat sehinggalah sekurang-kurangnya kepada kepada Jawatankuasa Harian PAS di peringkat Kawasan-Kawasan dan mengadakan road-show ke negeri-negeri bagi menjelaskan isu yang berkaitan dengan muzakarah dan Pakatan Rakyat. Taklimat Khas Presiden ini perlu diadakan dengan kadar segera sebelum menjelang Muktamar PAS Pusat pada 13-17 Ogos 2008 yang akan datang.

2. Pimpinan PAS perlu lebih telus dan berhat-hati dalam menyampaikan maklumat kepada umum agar ianya tidak ada percanggahan di antara satu sama lain.

3. Pimpinan PAS Pusat perlu kerap mengadakan aktiviti dan pertemuan yang mampu mempertautkan hati di kalangan pimpinan tertinggi supaya apa jua masalah yang berlaku dapat diselesaikan dengan baik.

DPPNJ juga berharap agar memelut isu muzakarah ini akan berakhir dengan segera supaya PAS dapat memberikan tumpuan terhadap perkara yang lebih besar manfaatnya kepada perjuangan.

Sekian.

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830
http://dppnjohor.blogspot.com/

http://minda-kembara.blogspot.com/2008/07/kenyataan-media-pemuda-pas-johor-isu.html


KOLEKSI III

Kenyataan Media Dewan Pemuda PAS Kelantan

Adakah Kita Mahu Ditendang Dua Kali Oleh UMNO?

Image










Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) menyokong penuh pendirian Yang Amat Berhormat Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Bin Haji Nik Mat, Menteri Besar Kelantan merangkap Mursyidul Am PAS mengenai isu muzakarah PAS-UMNO. DPPNK menganggap bahawa isu muzzakarah ini hanyalah agenda politik UMNO untuk turut mengheret PAS menanggani masalah dalaman UMNO yang secara nyata telah ditolak oleh rakyat di dalam Pilihan Raya Umum ke-12 yang lalu. Kenapa baru sekarang pemimpin UMNO sibuk dengan isu muzakarah, sedangkan muzakarah ini telah dicadangkan oleh PAS sejak sekian lama tapi tidak pernah disambut oleh UMNO. PAS pernah menghantar surat rasmi kepada UMNO untuk mengadakan muzakarah tapi tidak disambut oleh UMNO. Kenapa semasa UMNO kuat suatu ketika dahulu pemimpin mereka tidak menyambut cadangan muzakarah oleh PAS dan kenapa sekarang apabila keadaan UMNO semakin "nazak", mereka baru sibuk menghulur tangan untuk bermuzakarah dgn PAS.

Bagi kami DPPNK, ianya tidak lain dan tidak bukan adalah satu lagi tindakan licik politik UMNO di saat sedang ‘nazak’ sekarang ini untuk turut mengheret PAS agar sama-sama merasai masalah dalaman UMNO yang semakin tenat.

DPPNK mengharapkan agar para pimpinan PAS sentiasa bersabar dan mengambil kira pandangan akar umbi parti samada perlu berunding dengan UMNO atau tidak perlu. Pimpinan juga kena sentiasa ingat sejarah mengenai kelicikan politik UMNO ini yang suatu masa dahulu pernah melamar PAS agar bergabung dengan UMNO untuk menyelesai masalah perbalahan kaum ketika peristiwa 13 Mei 1969. Setelah PAS menyertai BN dan kemudiannya UMNO kembali kuat lalu mereka "tendang" PAS keluar daripada BN. Cukup hebat dan licik.

Adakah kita (PAS) mahu terkena tendangan kedua UMNO?

Mohamad Zaki bin Ibrahim
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan
22 Julai 2008
Kaherah, Mesir

http://kelantan.pas.org.my/index.php?option=com_content&task=view&id=147&Itemid=36


KOLEKSI IV

Muzakarah Hanya Helah UMNO Setelah Ditolak Rakyat

Sample Image





KOTA BHARU, 21 Julai (Hrkh) - Dewan Pemuda PAS Kelantan menganggap isu muzakarah di antara pemimpin PAS dan Umno sebagai agenda politik Umno.

Ketuanya, Mohd Zaki Ibrahim berkata, Umno cuba untuk mengheret PAS menangani masalah dalaman parti tersebut setelah ditolak rakyat pada pilihan raya umum ke-12, 8 Mac lalu.

"Kenapa baru sekarang pemimpin Umno sibuk dengan isu muzakarah, sedangkan muzakarah ini telah dicadangkan oleh PAS sejak sekian lama tapi tidak pernah disambut Umno.

"Pernah PAS menghantar surat rasmi kepada Umno untuk mengadakan muzakarah tetapi tidak disambut. Kenapa semasa Umno kuat dahulu pemimpin mereka tidak sambut baik cadangan muzakarah.

"Dan kenapa sekarang dalam keadaan Umno nazak baru sibuk menghulur tangan untuk muzakarah dengan PAS," katanya ketika dihubungi di Kaherah, Mesir, hari ini.

Hari ini Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dilaporkan berkata, muzakarah bersama PAS telah diadakan sebanyak tiga kali bagi membincangkan beberapa isu berkaitan keagamaan dan orang Melayu.

Mohd Zaki yang juga Timbalan Speaker Dun Kelantan berkata, isu muzakarah merupakan satu tindakan licik politik Umno politik selepas Umno sedang tenat sekarang.

Katanya, Pemuda Kelantan mengharapkan agar pemimpin parti bersabar dan mengambil kira pandangan akar umbi parti sebelum berunding dengan Umno.

"Pimpinan juga kena ingat macam mana kelicikan politik Umno yang suatu masa dahulu melamar PAS bergabung dengan Umno untuk menyelesaikan masalah perbalahan dalam peristiwa 13 Mei 1969.

"Apabila PAS menyertai BN, Umno semakin kuat lalu mereka menendang keluar PAS dari BN. Cukup hebat tindakan licik Umno, adakah kita akan terkena tendangan kedua selepas ini,"katanya.

Sehubungan itu kata beliau Dewan Pemuda PAS Kelantan menyokong penuh pendirian Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam isu muzakarah dengan Umno dengan meletak syarat tertentu.

Sementara itu, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Dato' Takiyuddin Hassan berkata, semua keputusan bermuzakarah perlu difikir bersama.

Katanya, tidak sepatutnya berlaku perselisihan dalam sesuatu isu apabila pemimpin tertinggi membuat keputusan mengenainya.

"Ahli dan penyokong parti hendaklah menerima segala keputusan dibuat kerana kita sayangkan parti bagi membangunkan negara,"katanya.
http://dppkelantan.pas.org.my/index.php?option=com_content&task=view&id=95&Itemid=26

KOLEKSI V

Pemuda PAS Menentang Perkongsian Kuasa UMNO-PAS

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub menegaskan menjadi dasar umum dan pendekatan Dewan Pemuda PAS Pusat untuk mengadakan apa jua bentuk perbicangan, dialog mahupun muzakarah dengan mana-mana pihak sebagai membuktikan PAS adalah parti yang sangat terbuka dan bersedia untuk berkongsi pengalaman dan pendekatan demi kepentingan negara, rakyat dan khususnya perjuangan Islam dalam negara ini.

Salahuddin dalam sidang media yang diadakan di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut hari ini, ketetapan dan ketegasan tersebut dibuat setelah mengadakan perbincangan selama tiga jam setengah dalam mesyuarat khas jawatankuasa kerja Dewan Pemuda Pas Pusat malam tadi.

Turut serta dalam sidang media tersebut ialah Setiausaha Pemuda PAS Pusat, Sabki Yusuf; Exco Pemuda PAS Pusat, Khairul Faizi Ahmad Kamil dan Kamaruzzaman Mohamad.

Jelas Salahuddin, di samping sikap keterbukaan itu, Dewan Pemuda PAS menentang sebarang usaha sekiranya muzakarah yang hendak diadakan menjurus dan memfokuskan kepada agenda kerjasama politik ataupun perkongsian kuasa di antara PAS dan Umno.

Tambahnya, melalui mesyuarat tersebut, Dewan Pemuda PAS juga membuat ketetapan komited kepada Pakatan Rakyat yang sedang terjalin.

Salahuddin menegaskan, Pakatan Rakyat merupakan satu-satunya wadah untuk menjadi alternatif kepada Barisan Nasional.

Katanya, Dewan Pemuda PAS juga akan menentang sebarang usaha yang dilakukan oleh mana-mana pihak untuk memecah belah serta menimbulkan fitnah dan hasutan terhadap Pakatan Rakyat.

Sehubungan itu katanya, sekiranya berlaku muzakarah antara PAS dan Umno, ia tidak akan berakhir dengan PAS meninggalkan Pakatan Rakyat serta menyertai atau berkongsi kuasa dengan Barisan Nasional.

“Oleh itu rakyat seharusnya faham bahawa muzakarah yang digembar gemburkan jika menjurus kepada perbincangan perkongsian kuasa serta agenda untuk meninggalkan Pakatan Rakyat, menjurus kepada kerjasama politik ia merupakan perkara yang tidak benar sama sekali.

“Rakyat seharusnya yakin dengan kepimpinan PAS serta perjuangan PAS hari ini. Kita sebenarnya sedang menerima mandat rakyat selepas Pilihan raya lalu dan telah membentuk kerajaan Pakatan Rakyat di lima buah negeri. Ini merupakan amanah dan tangggung jawab yang kita tunaikan dengan penuh kesedaran. Kita mempunyai prinsip dan pegangan yang cukup kuat tanpa ada pemikiran lain untuk lari atau mengkhianati daripada Pakatan Rakyat ,”tegasnya.

Dalam pada itu, Salahuddin menegaskan sekiranya terdapat sebarang permasalahan dalam Pakatan Rakyat, perkara tersebut akan diselesaikan dengan baik.


No comments: