Thursday, July 31, 2008

Alhamdulillah.......Allah swt perkenankan doa kita semua. Alhamdulillah......

SEPINTAS LALU BERKAITAN MUZAKARAH/MUQABALAH UMNO-PAS


KOLEKSI I


Mursyidul Am Tidak Mahu Sejarah Hitam Berulang

Kota Bharu 21 Julai - PAS dibimbangan akan menjadi kera sumbang manakala di kiri kanan pula kena marah sekiranya meneruskan muzakarah dengan pimpinan UMNO.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, apabila berlaku muzakarah penyokong kita marah kepada PAS dan orang Pakatan Rakyat juga curiga.

Oleh itu bagi mengelakkan kekecewaan penyokong, muzakarah antara PAS dan Umno dianggap tidak perlu bagi mengelak berulang sejarah hitam yang pernah berlaku sebelum ini.

"PAS akan lebih berhati-hati agar tidak terkena perangkap Umno kali kedua. Itu bukan cara parti yang memperjuangkan Islam berpolitik di mana cara berkenaan tidak ubah seperti menolong pihak lawan dan bukannya untuk menjaga kestabilan parti.

"Itu perangkap namanya,"katanya pada persidangan media di Kota Darulnaim petang ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mendedahkan muzakarah bersama PAS sudah tiga kali diadakan bagi membincangkan beberapa isu berkaitan agama dan orang Melayu.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebelum ini menegaskan muzakarah yang dicadangkan perlu bersyarat di mana Umno perlu meminta maaf secara terbuka kepada PAS terhadap banyak kesalahan yang dilakukan sebelum ini.

Beliau berkata, PAS tidak akan menerima nasib buruk diperangkap Umno kali kedua, cukup hanya sekali.

"Umno sekarang sudah lemas dan dia nak minta tolong PAS, sedangkan PAS sendiri bekerja keras untuk melemaskan Umno, tetapi apabila Umno lemas sekarang kita nak angkat dia balik, itu bukan kerja kita.

"Biar lemaslah dia, dah 50 tahun kita lawan Umno, bila dia lemas kita lanyak dia...sepatutnya begitu," ujarnya.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan meminta anggota parti menyoal diri masing-masing sama ada mereka ingin menjaga parti atau Islam.

Katanya, sekiranya hanya untuk menjaga parti, ia bukan hala tuju perjuangan parti yang sebenarnya.

"Kita nak jaga Islam, jaga Umno apa yang akan kita dapat. Umno ni sebenarnya parti yang melonggarkan iman, orang Melayu selama ini longgar kerana Umno.

"Tetapi kalau PAS nak jaga Islam, bukan caranya untuk PAS bekerjasama dengan Umno, sebab parti itu parti sekular yang hanya memperjuangkan dasar untuk dunia semata-mata,"ujarnya.

Katanya, soal bangkit dari kubur dan akhirat tidak pernah menjadi hala tuju dan perbincangan di kalangan pemimpin Umno.

Ditanya isu muzakarah sengaja diperbesarkan media, beliau berkata, ia sudah menjadi agenda media untuk melariskan jualan.

"Itu kerja orang surat khabar, dia akan berbuat sesuatu untuk melariskan akhbar masing-masing, itu jelas.

"Jadi untuk melebarkan perjuangan PAS hanya melalui ceramah dan internet. Apa yang menjadi isu di media sekarang kerana mereka mempunyai agenda sendiri, sebab semua suratkhabar harian proUmno belaka," ujarnya.

Beliau juga turut menafikan wujud perbezaan pendapat antara beliau dengan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam isu muzakarah.

Katanya, kewujudan berbezaan pandangan tidak bererti parti itu mengalami masalah kepemimpinan.

"Sehingga hari ini ia tidak menjadi masalah, sebab kita hidup tidak boleh senyap, banyak mana yang kita nak luah, kita luahkan, kemudian kita dengar balik.

"Sekarang masing-masing sudah meluahkan pandangan, jadi terpulang kepada penyokong untuk membuat penilaian,"ujarnya.

Beliau juga berkata, biar pun sudah ada pertemuan pemimpin PAS dengan Presiden Umno, ia tidak bererti sudah ada persefahaman antara kedua-dua parti tersebut.

Ditanya adakah beliau kecewa dengan tindakan pemimpin PAS mengadakan pertemuan dengan pemimpin tertinggi parti Umno beliau berkata, tidak juga.

"Benda atas dunia ni begitulah, masalah perkara biasa berlaku seperti dalam rumah tangga antara suami isteri, kesilapan dilakukan suami adakalanya tidak disedari.

"Saya setuju benar biar Umno jadi pembangkang bukan sahaja di Kelantan, tetapi di seluruh negara termasuk di peringkat pusat,"ujarnya.

Beliau juga meminta ahli parti dan penyokong Pakatan Rakyat bertenang dalam menghadapi situasi sekarang serta tidak mudah termakan taktik yang dimainkan musuh.

Mursyidul Am juga berharap perwakilan membahaskan isu tersebut di Muktamar PAS di Ipoh Ogos depan

http://kelantan.pas.org.my/index.php?option=com_content&task=view&id=146&Itemid=36


KOLEKSI II

Kenyataan akhbar Dewan Pemuda PAS Negeri Johor

Pemuda PAS JOHOR Menyokong Keputusan Agar Muzakarah PAS-UMNO Dihentikan

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor telah mengadakan mesyuarat khas pada 23 Julai 2008 pukul 9.30 malam untuk membincangkan satu perkara iaitu muzakarah di antara PAS dan UMNO. Mesyuarat khas ini diadakan sehari selepas Dewan Pemuda PAS Pusat mengadakan mesyuarat yang sama.

DPPNJ telah mengambil beberapa keputusan seperti berikut :

1. Menyokong penuh keputusan pimpinan tertinggi PAS yang sebulat suara menolak muzakarah UMNO-PAS dan menolak sebarang dialog kerjasama politik hedua-dua parti.

2. Menyokong keputusan DPPP yang mahukan PAS kekal dengan Pakatan Rakyat dan menentang sebarang usaha sekiranya muzakarah yang hendak diadakan menjurus dan memfokuskan kepada agenda kerjasama politik ataupun perkongsian kuasa di antara PAS dan UMNO.

DPPNJ juga telah mengarahkan agar Dewan Pemuda PAS Kawasan mengambil tindakan segera untuk memberikan taklimat kepada seluruh pemuda PAS di peringkat kawasan terhadap isu ini agar pemuda PAS tidak terkeliru dengan isu muzakarah ini.

Di samping itu, mesyuarat khas DPPNJ ini juga bersetuju supaya :

i. PAS Pusat mengadakan Taklimat Khas Presiden kepada seluruh pimpinan PAS daripada peringkat Pusat sehinggalah sekurang-kurangnya kepada kepada Jawatankuasa Harian PAS di peringkat Kawasan-Kawasan dan mengadakan road-show ke negeri-negeri bagi menjelaskan isu yang berkaitan dengan muzakarah dan Pakatan Rakyat. Taklimat Khas Presiden ini perlu diadakan dengan kadar segera sebelum menjelang Muktamar PAS Pusat pada 13-17 Ogos 2008 yang akan datang.

2. Pimpinan PAS perlu lebih telus dan berhat-hati dalam menyampaikan maklumat kepada umum agar ianya tidak ada percanggahan di antara satu sama lain.

3. Pimpinan PAS Pusat perlu kerap mengadakan aktiviti dan pertemuan yang mampu mempertautkan hati di kalangan pimpinan tertinggi supaya apa jua masalah yang berlaku dapat diselesaikan dengan baik.

DPPNJ juga berharap agar memelut isu muzakarah ini akan berakhir dengan segera supaya PAS dapat memberikan tumpuan terhadap perkara yang lebih besar manfaatnya kepada perjuangan.

Sekian.

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830
http://dppnjohor.blogspot.com/

http://minda-kembara.blogspot.com/2008/07/kenyataan-media-pemuda-pas-johor-isu.html


KOLEKSI III

Kenyataan Media Dewan Pemuda PAS Kelantan

Adakah Kita Mahu Ditendang Dua Kali Oleh UMNO?

Image










Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) menyokong penuh pendirian Yang Amat Berhormat Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Bin Haji Nik Mat, Menteri Besar Kelantan merangkap Mursyidul Am PAS mengenai isu muzakarah PAS-UMNO. DPPNK menganggap bahawa isu muzzakarah ini hanyalah agenda politik UMNO untuk turut mengheret PAS menanggani masalah dalaman UMNO yang secara nyata telah ditolak oleh rakyat di dalam Pilihan Raya Umum ke-12 yang lalu. Kenapa baru sekarang pemimpin UMNO sibuk dengan isu muzakarah, sedangkan muzakarah ini telah dicadangkan oleh PAS sejak sekian lama tapi tidak pernah disambut oleh UMNO. PAS pernah menghantar surat rasmi kepada UMNO untuk mengadakan muzakarah tapi tidak disambut oleh UMNO. Kenapa semasa UMNO kuat suatu ketika dahulu pemimpin mereka tidak menyambut cadangan muzakarah oleh PAS dan kenapa sekarang apabila keadaan UMNO semakin "nazak", mereka baru sibuk menghulur tangan untuk bermuzakarah dgn PAS.

Bagi kami DPPNK, ianya tidak lain dan tidak bukan adalah satu lagi tindakan licik politik UMNO di saat sedang ‘nazak’ sekarang ini untuk turut mengheret PAS agar sama-sama merasai masalah dalaman UMNO yang semakin tenat.

DPPNK mengharapkan agar para pimpinan PAS sentiasa bersabar dan mengambil kira pandangan akar umbi parti samada perlu berunding dengan UMNO atau tidak perlu. Pimpinan juga kena sentiasa ingat sejarah mengenai kelicikan politik UMNO ini yang suatu masa dahulu pernah melamar PAS agar bergabung dengan UMNO untuk menyelesai masalah perbalahan kaum ketika peristiwa 13 Mei 1969. Setelah PAS menyertai BN dan kemudiannya UMNO kembali kuat lalu mereka "tendang" PAS keluar daripada BN. Cukup hebat dan licik.

Adakah kita (PAS) mahu terkena tendangan kedua UMNO?

Mohamad Zaki bin Ibrahim
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan
22 Julai 2008
Kaherah, Mesir

http://kelantan.pas.org.my/index.php?option=com_content&task=view&id=147&Itemid=36


KOLEKSI IV

Muzakarah Hanya Helah UMNO Setelah Ditolak Rakyat

Sample Image





KOTA BHARU, 21 Julai (Hrkh) - Dewan Pemuda PAS Kelantan menganggap isu muzakarah di antara pemimpin PAS dan Umno sebagai agenda politik Umno.

Ketuanya, Mohd Zaki Ibrahim berkata, Umno cuba untuk mengheret PAS menangani masalah dalaman parti tersebut setelah ditolak rakyat pada pilihan raya umum ke-12, 8 Mac lalu.

"Kenapa baru sekarang pemimpin Umno sibuk dengan isu muzakarah, sedangkan muzakarah ini telah dicadangkan oleh PAS sejak sekian lama tapi tidak pernah disambut Umno.

"Pernah PAS menghantar surat rasmi kepada Umno untuk mengadakan muzakarah tetapi tidak disambut. Kenapa semasa Umno kuat dahulu pemimpin mereka tidak sambut baik cadangan muzakarah.

"Dan kenapa sekarang dalam keadaan Umno nazak baru sibuk menghulur tangan untuk muzakarah dengan PAS," katanya ketika dihubungi di Kaherah, Mesir, hari ini.

Hari ini Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dilaporkan berkata, muzakarah bersama PAS telah diadakan sebanyak tiga kali bagi membincangkan beberapa isu berkaitan keagamaan dan orang Melayu.

Mohd Zaki yang juga Timbalan Speaker Dun Kelantan berkata, isu muzakarah merupakan satu tindakan licik politik Umno politik selepas Umno sedang tenat sekarang.

Katanya, Pemuda Kelantan mengharapkan agar pemimpin parti bersabar dan mengambil kira pandangan akar umbi parti sebelum berunding dengan Umno.

"Pimpinan juga kena ingat macam mana kelicikan politik Umno yang suatu masa dahulu melamar PAS bergabung dengan Umno untuk menyelesaikan masalah perbalahan dalam peristiwa 13 Mei 1969.

"Apabila PAS menyertai BN, Umno semakin kuat lalu mereka menendang keluar PAS dari BN. Cukup hebat tindakan licik Umno, adakah kita akan terkena tendangan kedua selepas ini,"katanya.

Sehubungan itu kata beliau Dewan Pemuda PAS Kelantan menyokong penuh pendirian Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam isu muzakarah dengan Umno dengan meletak syarat tertentu.

Sementara itu, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Dato' Takiyuddin Hassan berkata, semua keputusan bermuzakarah perlu difikir bersama.

Katanya, tidak sepatutnya berlaku perselisihan dalam sesuatu isu apabila pemimpin tertinggi membuat keputusan mengenainya.

"Ahli dan penyokong parti hendaklah menerima segala keputusan dibuat kerana kita sayangkan parti bagi membangunkan negara,"katanya.
http://dppkelantan.pas.org.my/index.php?option=com_content&task=view&id=95&Itemid=26

KOLEKSI V

Pemuda PAS Menentang Perkongsian Kuasa UMNO-PAS

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub menegaskan menjadi dasar umum dan pendekatan Dewan Pemuda PAS Pusat untuk mengadakan apa jua bentuk perbicangan, dialog mahupun muzakarah dengan mana-mana pihak sebagai membuktikan PAS adalah parti yang sangat terbuka dan bersedia untuk berkongsi pengalaman dan pendekatan demi kepentingan negara, rakyat dan khususnya perjuangan Islam dalam negara ini.

Salahuddin dalam sidang media yang diadakan di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut hari ini, ketetapan dan ketegasan tersebut dibuat setelah mengadakan perbincangan selama tiga jam setengah dalam mesyuarat khas jawatankuasa kerja Dewan Pemuda Pas Pusat malam tadi.

Turut serta dalam sidang media tersebut ialah Setiausaha Pemuda PAS Pusat, Sabki Yusuf; Exco Pemuda PAS Pusat, Khairul Faizi Ahmad Kamil dan Kamaruzzaman Mohamad.

Jelas Salahuddin, di samping sikap keterbukaan itu, Dewan Pemuda PAS menentang sebarang usaha sekiranya muzakarah yang hendak diadakan menjurus dan memfokuskan kepada agenda kerjasama politik ataupun perkongsian kuasa di antara PAS dan Umno.

Tambahnya, melalui mesyuarat tersebut, Dewan Pemuda PAS juga membuat ketetapan komited kepada Pakatan Rakyat yang sedang terjalin.

Salahuddin menegaskan, Pakatan Rakyat merupakan satu-satunya wadah untuk menjadi alternatif kepada Barisan Nasional.

Katanya, Dewan Pemuda PAS juga akan menentang sebarang usaha yang dilakukan oleh mana-mana pihak untuk memecah belah serta menimbulkan fitnah dan hasutan terhadap Pakatan Rakyat.

Sehubungan itu katanya, sekiranya berlaku muzakarah antara PAS dan Umno, ia tidak akan berakhir dengan PAS meninggalkan Pakatan Rakyat serta menyertai atau berkongsi kuasa dengan Barisan Nasional.

“Oleh itu rakyat seharusnya faham bahawa muzakarah yang digembar gemburkan jika menjurus kepada perbincangan perkongsian kuasa serta agenda untuk meninggalkan Pakatan Rakyat, menjurus kepada kerjasama politik ia merupakan perkara yang tidak benar sama sekali.

“Rakyat seharusnya yakin dengan kepimpinan PAS serta perjuangan PAS hari ini. Kita sebenarnya sedang menerima mandat rakyat selepas Pilihan raya lalu dan telah membentuk kerajaan Pakatan Rakyat di lima buah negeri. Ini merupakan amanah dan tangggung jawab yang kita tunaikan dengan penuh kesedaran. Kita mempunyai prinsip dan pegangan yang cukup kuat tanpa ada pemikiran lain untuk lari atau mengkhianati daripada Pakatan Rakyat ,”tegasnya.

Dalam pada itu, Salahuddin menegaskan sekiranya terdapat sebarang permasalahan dalam Pakatan Rakyat, perkara tersebut akan diselesaikan dengan baik.


Menunggu keputusan mesyuarat pimpinan PAS - Risau macam tunggu isteri nak bersalin

Sukar nak digambarkan kerisauan di hati. Hari ni PAS secara rasminya akan membuat keputusan berkaitan muzakarah/muqabalah dengan UMNO. Keputusan sama ada ada ikatan yang akan dimeterai atau pun tidak.

Ya Allah, aku serahkan masalah ini kepada-Mu. Sesungguhnya Engkau lebih memahami keperluan dan permasalahan ini. Janganlah Engkau uji jemaah ini dengan ujian yang kami tak mampu tangani. Kukuhkanlah jemaah ini. Jauhkanlah jemaah ini daripada perpecahan yang boleh mendorong kehancuran. Ameen.

Wednesday, July 30, 2008

Pas akan terus kekal selagi Islam menjadi dasar perjuangan

Dikirim pada Julai 30, 2008 oleh HermanSamsudeen

Pas akan kekal di persada politik negara seandainya Islam terus menjadi nadi perjuangan. Asas penubuhan Pas adalah Islam dan sesekali tidak akan meninggalkannya. Cita-cita untuk menegak daulah Islamiyyah kekal menjadi tulang belakangnya, tanpa sedikit pun menafikan hak mereka yang bukan Islam.

firman Allah:

“Sesiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan Allah, maka merekalah orang- orang yang kafir”(Surah al-Maidah, ayat 44)
dan,

“Untukmu agamamu, dan untukku agamaku.”(Surah al-Kafirun, ayat 6)

Apa yang kita lihat pada hari ini adalah polemik dan percambahan pemikiran kalangan pelbagai lapisan kepimpinan dan ahli dipelbagai peringkat. Polemik itu terus berkembang sesuai dengan arus modenisasi teknologi semasa. Internet, telefon bimbit, dan pelbagai gajet baru digunapakai bagi menyampaikan maksud dakwah itu.

Bacaan lanjut di http://syukran.wordpress.com/2008/07/30/pas-akan-terus-kekal-selagi-islam-menjadi-dasar-perjuangan/

Luahan Rasa Saudara Hj Hanipa Maidin berkaitan isu muzakarah/muqabalah

Saturday, July 26, 2008

PAS MUNGKIN AKAN SUKAR DIPERCAYAI LAGI SELEPAS INI

Oleh : Mohamed Hanipa Maidin

Apa yang saya tulis diblog ini adalah pendapat peribadi saya. Saya tidak menulis atas kapasiti sebagai ahli jawatankuasa PAS Pusat. Tulisan ini menggambarkan betapa frustnya saya ( dan mungkin juga ahli-ahli PAS yang lain ) apabila Dato’Presiden PAS mengakui bahawa terdapat pertemuan antara Timbalan Presiden PAS dengan Presiden UMNO di Parlimen .

Terus terang sebagai ahli Jawatankuasa PAS Pusat ,saya tidak mempunyai pengetahuan langsung pertemuan antara Timbalan Presiden PAS dengan Presiden UMNO di Parlimen. Presiden PAS menyatakan ianya dimaklumkan kepada beliau dan Majlis Syura Ulama’. Saya kurang faham dengan alasan ini. Setahu saya Majlis Syura akan hanya dilibatkan jika isu ini melibatkan soal hukum.

Saya tidak nampak pertemuan dengan UMNO melibatkan soal hukum . Ia lebih kepada isu strategi- di bawah bidangkuasa Jawatankuasa PAS Pusat. Tidak mengapa, saya akan bertanyakan hal ini di dalam mesyuarat AJK PAS Pusat nanti. Saya tidak pernah percaya kepada UMNO. Atas dasar itu saya menyokong PAS sejak dibangku sekolah lagi .

Saya orang Johor. Saya menyokong PAS ketikamana orang di negeri saya masih memandang PAS sebagai satu parti yang begitu asing. Saya menyokong PAS kerana yakin bahawa Parti tersebut ingin mendaulatkan Islam. UMNO adalah parti yang banyak jenayahnya terhadap Islam. Kesalahan ulung UMNO adalah mencipta Islam hadhari.

Presiden PAS menulis sebuah buku bagi menyerang Islam Hadhari kerana Islam Hadhari telah membawa umat Islam keliru dengan Islam yang diajar oleh Allah dan RasulNya.Pilihanraya yang lepas UMNO bermatian-matian ingin merampas Kelantan- sebuah negeri yang diperintah oleh PAS .

Kelantan adalah benteng terakhir untuk Islam didaulatkan di negara ini. Saya mengakui saya masih belum berpuashati dengan perlaksanaan Islam di Kelantan. Gelagat sesetengah pemimpin PAS di Kelantan amat memualkan hati saya meskipun saya adalah ahli dan pemimpin PAS. Kelantan bukan model yang terhebat di dalam mendaulatkan Islam di negara ini. Ini tidak pelik kerana berdasarkan sistem federalism yang diamalkan di negara ini kuasa Kerajaan Kelantan untuk menegakkan Islam di dalam erti kata yang sebenarnya terhalang oleh banyak halangan .

Namun siapa boleh menafikan bahawa Kelantan telah banyak berusaha melaksanakan Islam yang jauh lebih baik jika dibandingkan sebelum PAS mengambil alih pada tahun 1990.Saya penuh yakin Tuan Guru Nik Aziz telah berusaha keras untuk mendaulatkan Islam di Kelantan. Moga Allah merahmati beliau di atas usaha murninya itu. Atas dasar itu saya sama sekali tidak boleh menerima tindakan UMNO yang bermatian-matian ingin merampas Kelantan dari PAS.

Sahabat saya Y.B Salahudin menyatakan kepada saya semasa tempoh kempen pilihanraya yang lalu, beliau dapat meraskan betapa cemasnya pemimpin PAS dengan serangan hebat UMNO yang ingin merampas balik Kelantan.Bagaimanapun kuasa Allah menentukan segala-galanya. Hasrat dan niat jahat UMNO ingin merampas Kelantan menyaksikan Kerajaan PAS kekal dengan selesa di Kelantan sebaliknya lima buah negeri yang diperintah oleh BN/UMNO sebelum pilihanraya yang lepas dirampas oleh Pakatan Rakyat.

Saya juga tidak akan lupa betapa jahatnya UMNO menggunakan taktik paling kotor untuk menjatuhkan Kerajaan PAS di Trengganu. Rakyat Trengganu yang menyokong PAS didera dengan hebat seperti menarik balik royalti petroleum. Menteri Besar Trengganu yang sekarang ini dan UMNO Trengganu juga tidak pernah bersuara menentang tindakan zalim UMNO Pusat menarik balik royalti petroleum. Kini lepas Mahathir tidak berkuasa baru mula berani bercakap. Saya tidak hormati langsung Menteri Besar seperti ini. Apabila Pemimpin Pas Trengganu berjumpa beliau baru-baru ini ianya amat memualkan saya.

Telah menjadi pengetahuan umum sokongan orang bukan Islam menentukan kemenangan Pakatan Rakyat dan menumbangkan UMNO/BN. Meskipun media tajaan UMNO tidak henti henti cuba melakarkan PAS sebagai parti yang melampau/ekstrem dan pelbagai lakaran yang negatif, orang bukan Islam tetap menyokong PAS. Sokongan kaum India menyebabkan Dr Mariah menjadi calon PAS yang menang dengan manjoriti yang paling besar . Meskipun saya kalah di Tangjung Karang namun sokongan pengundi Cina dan India memihak kepada saya.

Sokongan kaum non muslim kepada PAS Alhamdulillah berterusan selepas pilihanraya. Di Puchong telah ada penyokong PAS dari kaum India yang telah memeluk Islam. Ini satu perkembangan yang amat memberangsangkan. Ada kaum India yang membubarkan cawangan MIC dan menubuhkan kelab penyokong PAS. Calon tajaan PAS di Ulu Tiram , Johor saudari Kumutha meminta ahli PAS mendoakan agar beliau terus bersama kepimpinan Ulama PAS.

Permintaan kaum bukan Islam untuk menubuhkan kelab penyokong PAS semakin hari semakin meningkat. Malahan ahli-ahli kelab penyokong PAS merayu ingin menjadi ahli PAS dan meminta PAS bertindak segera menerima mereka sebagai ahli. Malangnya semuanya ini kini mula bertukar sedikit demi sedikit apabila PAS terjebak sekali lagi dengan permainan licik UMNO. UMNO mencanangkan dan memainkan gendang muzakarah. PAS yang kita tahu dipimpin oleh orang-orang yang baik malangnya termakan dengan umpan jahat dan busuk UMNO.

Nabi Muhammad s.a.w bukan sahaja baik dan digelar al-amin Baginda juga mempunyai sifat fathonah ( bijaksana ). Di dalam politik fathonah amat berguna.Orang bukan Islam mula bertanya adakah PAS telah mengkhianati sokongan mereka. Semasa pilihanraya lalu kami menolak politik perkauman UMNO dan tertarik dengan mesej PAS iaitu “PAS FOR ALL” yang sesuai dengan sifat Islam yang universal. Tapi, keluh orang bukan Islam, kenapakah PAS kini mula bercakap senada dengan UMNO. Hanya beberapa bulan pilihanraya berlalu, kenapakah PAS bersedia merapati UMNO semula. UMNO yang semakin lemas kini cuba diselamatkan oleh PAS.Ini keluhan yang serius.

Pemimpin PAS khususnya Presiden dan Timbalannya harus peka dengan keluhan ini . Meringankan hal ini “is at our own peril”Ya, Pakatan Rakyat adalah satu Pakatan yang longgar. Banyak kelemahan di sana sini. KEADILAN ada kelemahannya. DAP ada kelemahannya. PAS juga ada kelemahannya. Tetapi di sana ketiga-tiga Parti tersebut ada kekuatan yang dikongsi bersama. Kekuatannya adalah ketiga-tiga benci dan menentang kezaliman yang UMNO lakukan. Ketiga-tiganya bencikan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Ketiga-tiganya mejuarai isu rakyat Ketiga-tiganya sedang berusaha keras ingin menunaikan janji kepada rakyat sepertimana yang dinyatakan di dalam manifesto mereka.

Kekuatan inilah yang akan melahirkan satu ledakan yang kuat yang akan menghancurkan UMNO pada masa pilihanraya umum yang akan datang. Saya tidak pasti orang bukan Islam, Parti KEADILAN dan DAP akan terus mempercayai PAS selepas ini. Saya harap mereka masih percaya. Tapi secara realistik saya yakin mereka ,kalau pun tidak hilang kepercayaan kepada PAS , tetap kurang percaya kepada PAS. Kalau mereka hilang kepercayaan kepada PAS saya berani mengatakan ianya akibat percaturan salah sesetengah pemimpin PAS dan PAS terpaksa membayar harga yang mahal terhadap percaturan salah tersebut. Adakah PAS boleh dianggap mengkhianati sokongan orang bukan Islam ? Hanya masa yang menentukan !!!


Komen aku pula berbunyi begini : -

Assalamu 'alaikum........

Buat komen memang sedap tetapi untuk menjiwai sesuatu isu memang sukar. Ramai di kalangan kita hanya pandai mengulangi apa yg orang lain cakap tetapi gagal untuk meluahkan rasa hati dan buah fikiran sendiri.

Berada dalam saf pimpinan sememangnya berada dekat dengan pimpinan atasan tetapi tidak bermakna boleh sentiasa mendekati pimpinan atasan.

Berada dalam saf pimpinan sememangnya membuatkan kita dekat dengan kuasa membuat keputusan tetapi mampukah kita menjiwai rasa hati pejuang yang berada di pelusuk kampung yang bertungkus-lumus menangkan PAS?

Berapa ramai di kalangan pimpinan yang gagal membuang jauh jurang pimpinan-pengikut setiap kali turun berceramah di kampung-kampung?

Berapa ramai di kalangan pimpinan yang akan terus menghukurkan tangan bersalam dan mendekati ahli setiap kali ahli tersenyum kepada pimpinan?

Berapa ramai pula pimpinan yang turun ke kampung-kampung macam tuan-tuan ladang turun ke estet-estet untuk bertemu dengan para pekerja?

Jangan dipersoalkan tentang ketaatan kepada jemaah sekiranya semua permasalahan dan persoalan tadi gagal untuk kita jiwai.

Saya sedikit tersinggung dengan beberapa komen sebelum ini. Apabila Sdra Hanipa menulis berkaitan isu muzakarah atau muqabalah ini atas tiket peribadi, ramai yang cenderung menggambarkan Sdr Hanipa sebagai tidak begitu wala' kepada pimpinan PAS. Sedarkah ikhwan sekali bahawa pandangan ikhwan sekalian sama seperti komen-komen pimpinan UMNO setiap kali ahli akar umbi mereka bersuara? Nampak macam ahli bawahan tidak punya ruang untuk bersuara dan meluahkan pandangan.

Maaf jika saya sedikit emosional tetapi inilah hakikat yang perlu diakui sebelum kita menjatuhkan hukum. Pandang dan nilaikanlah sesuatu perkara itu atas rasional dan dengan hati yang terbuka. Janganlah taksub dengan mana-mana individu kerana hanya ketaatan kepada Allah swt dan Rasul-Nya sahaja yang merupakan ketaatan tanpa syarat.

Tok Guru Nik Aziz - Semoga Allah swt memberkati umurmu.

Akhbar SinarHarian Rabu 30 Julai 2008

Tok Guru kata - "Karpal berhak kata apa sahaja".

Pemimpin yang begitu mudah memaafkan. Bukan kerana mengambil sikap sambil lewa tetapi kerana menghormati pandangan seorang insan bukan Islam yang telah berumur agak lanjut. Beliau tidak kisah dan risau dengan pandangan Karpal Singh kerana Karpal Singh juga khuatir dengan sepak terajang politik UMNO-BN.

Sebagai seorang insan bukan Islam, Karpal Singh berhak mempunyai rasa terkilan, khuatir dan risau terhadap muzakarah atau muqabalah UMNO-PAS. Bukan hanya Karpal Singh yang risau tetapi ramai ahli PAS juga risau.

Karpal Singh risau kerana muzakarah atau muqabalah UMNO-PAS ini mampu menggugat kerajaan Pakatan Rakyat di beberapa negeri terutamanya di Selangor dan Perak. Manakala ahli-ahli PAS pula risau dan gusar tentang keruntuhan dan kehancuran yang bakal berlaku sekiranya permuafakatan terbentuk di antara UMNO-PAS.

Sejarah mengajar kita untuk berhati-hati dengan UMNO. PAS memiliki senarai panjang pengkhianatan dan kerja jahat UMNO. Pengalaman lepas masih segar di ingatan setiap ahli PAS terutamanya yang berumur lebih 50 tahun. Bukan satu kerisauan yang dibuat-buat.

Ibarat kata Tok Guru Nik Aziz seketika dulu - JEMPUT+PAKAT+GABUNG=TENDANG. TENDANG=KERA SUMBANG.

Inilah kerisauan ahli-ahli PAS. Janganlah kita tertipu lagi dengan gula-gula munafik UMNO.

Berbalik kepada perihal risau dan gusarnya Karpal Singh. Bertahun-tahun berkahwin dan bertungkus-lumus mencuba untuk mendapatkan anak, setelah lahir seorang anak sulung lelaki, tiba-tiba ada percubaan daripada bunian untuk melarikan anak lelaki sulung ini. Bukan setakat anak lelaki sulung yang cuba dilarikan tetapi anak-anak saudara juga. Hati mana yang tidak risau. Hati mana yang tidak resah. Maklumlah, bunian tu wujud. Cuma kita tak nampak bunian tu. Tinggi benar kiasan saya nih. Harap rakan-rakan faham apa maksud saya.

Tok Guru kata - "Lagipun Karpal Singh cakap depan. Lebih baik cakap depan daripada cakap belakang".

Ini politik budiman namanya. Baik Karpal Singh mahupun Tok Guru, kedua-duanya ahli politik budiman jika ditelitikan dengan bijaksana. Memang Karpal Singh kerap kali emosional dan Tok Guru pula kerap kali bersahaja walaupun tegas, namun kebijaksanaan terserlah. Langsung tiada unsur-unsur kemunafikan atau bermuka-muka. Bukan seperti sesetengah kelompok yang depan cakap lain tetapi di belakang cakap lain. Kelompok manakah itu? Tepuk dada tanya iman.
Di mana bumi dipijak, di situ Islam dijunjung. Tahniah Karpal Singh kerana mengejutkan pimpinan PAS daripada mimpi. Tahniah Tok Guru Nik Aziz kerana mententeramkan hati-hati yang sedang diamuk kerisauan yang melampau.

Semoga Allah swt memberkati umur Tok Guru dan membuka hati Karpal Singh untuk menerima Islam sebagai wadah melayari kehidupan dunia yang sementara ini. Ameen.

Adakah aku pun akan meracau juga selepas ini?

Aku baru balik daripada satu majlis perbincangan tidak rasmi di rumah TH Kee. Aku ingat TH Kee nak ajak aku tengok Chelsea lawan Malaysia tapi rupa-rupanya bukan. Dia ajak ramai kawan-kawan ke rumahnya semata-mata nak bertukar-tukar pandangan tentang muqabalah UMNO-PAS.

Ramai juga yang hadir. Lebih kurang 40 orang. Yang beragama Islam hanya aku, Ust Zulkifli Muhammad dan Dr Idris Mustaffa. Yang lain semuanya bukan Islam. Rakan-rakan berbangsa Cina paling ramai.

Terlalu banyak soalan dibangkitkan. Serba salah jadinya. Kami tidak ada autoriti untuk menjawab bagi pihak PAS tetapi kamilah yang bertanggungjawab menarik rakan-rakan bukan Islam ini kepada PAS. Mereka memang sayangkan PAS tetapi masing-masing punya perasaan seperti dikhianati oleh PAS apabila timbul kejutan pertemuan UMNO-PAS dan lebih mengejutkan pertemuan demi pertemuan telah berlaku dan lebih mengejutkan kedua dua pihak baik UMNO mahupun PAS berikrar bahawa pertemuan ini akan terus berlaku.

Albert terang-terangan berkata beliau tidak akan sekali-kali mempercayai PAS lagi sekiranya PAS masih berniat mahu bertemu dengan UMNO. Walaupun beliau berulang kali berikrar akan tetap menjaga hubungan persahabatan kami tetapi beliau juga dengan tegas menyatakan keterkilanan beliau dengan sikap dan pendekatan Ustaz Nasaruddin Timbalan Presiden.

Aku tak dapat nak tulis sepenuhnya isi perbincangan tadi kerana aku tak sanggup nak tulis malam nih. InsyaAllha, mungkin lepas-lepas nih aku akan ada kekuatan untuk tuliskan isi-isi perbincangan tadi.

Buat Ustaz Nasaruddin Timbalan Presiden, Allah Maha Adil dan Allah Maha Mengetahui. Semoga Alllah swt mengampunkan anda sekiranya jemaah ini hancur atau kacau bilau kerana "keterbukaan" anda. Mungkin kasar dan agak kurang adab untuk aku berkata demikian tetapi itulah yang bermain di fikiran ramai di antara kami tadi.

Ya Allah, ampunkanlah kami di atas kelemahan kami. Kurniakanlah kami pimpinan yang mampu memikul amanah perjuangan ini. Janganlah Engkau uji kami dengan kehadiran pimpinan yang menggugat survival perjuangan ini. Ameen

Tuesday, July 29, 2008

Racauan Semakin Berjangkit - Kini Giliran Tajol Rosli Pula

Tajol Rosli kata - "UMNO Perak sanggup menerima Menteri Besar daripada PAS. Ini langkah awal elak perpecahan Melayu dan mewujudkan kestabilan politik".

Nampaknya politik UMNO-BN semakin gila babi. Jika Ustaz Idris Ahmad kata Tajol Rosli gila talak, saya lebih cenderung untuk menggunakan istilah gila babi. Ada tiga perkara yang saya ingin persoalkan tentang apa yang Tajol Rosli kata.

Pertama - "UMNO Perak sanggup menerima Menteri Besar daripada PAS".

Persoalan - Ikhlaskah? Apa tujuannya? Kenapa tiba-tiba meracau pula? UMNO Perak tu siapa? Keseluruhannya atau dua tiga kerat pimpinannya sahajakah? Sanggup terima untuk tempoh berapa lama? Sepenggal? Dua penggal? Atau sementara ketika UMNO lemah sahajakah? Atau mungkin racauan ini berpunca daripada toyol-toyol yang diternak di Selangor? Terlalu banyak persoalan yang boleh dibangkitkan.

Sewajarnya UMNO menerima Islam yang didokong dan diperjuangkan oleh PAS dan bukannya sekadar menerima PAS pada namanya sahaja.

Kedua - "Langkah awal elak perpecahan Melayu".

Persoalan - Yang berpecah itu Melayu atau UMNO? Yang terpinggir dan dipinggir itu Melayu atau UMNO? Yang gagal menjadi pemimpin itu Melayu atau UMNO? Jika UMNO sememangnya menitikberatkan perpaduan Melayu, kenapa menganaktirikan rakyat Kelantan? Bukan sehari dua atau seminggu dua teapi selam lapan belas tahun !!!!!!!!! Adakah rakyat yang di Kelantan itu bukan Melayu? Janganlah kerana kalah baru nak bercakap soal perpaduan Melayu.

Saya orang Pulau Pinang atau lebih tepatnya orang Balik Pulau. Apa orang Melayu Pulau Pinang dapat ketika UMNO-BN memerintah negeri tersebut? Balik Pulau merupakan satu-satunya daerah yang berada dalam pulau yang majoriti penduduknya adalah Melayu tetapi apa yang dilakukan oleh almarhum Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang (jawatan jer almarhum tetapi mantannya masih ada) untuk membela Melayu di Balik Pulau ketika beliau menjadi ADUN di kawasan itu? Bukankah ketika beliau menjadi Timbalan Ketua Menteri, beliau merupakan Melayu yang paling berkuasa di Pulau Pinang dari sudut kuasanya? Malangnya, Dr Helmi Yahya inilah yang banyak memperdayakan Melayu di Balik Pulau. Sekadar nak buat gelanggang badminton, pelajar sekolah menengah pun boleh pungut derma dan buat sendiri tanpa perlukan pembiayaan daripada makhluk yang bernama Dr Helmi Yahya ini.

Ketiga - "Mewujudkan kestabilan politik".

Persoalan - Politik negeri mana yang tidak stabil itu? Negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat atau negeri yang dikuasai oleh Barisan Nasional? Kenapa tidak stabil? Kerana Paktan Rakyat tidak pandai mentadbir atau kerana UMNO-Barisan Nasional yang mengganggu tahap cipan supaya negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat menjadi tidak stabil? Siapakah yang membuat penilaian bahawa sesuatu negeri itu tidak stabil pemerintahannya? Badan bebas, ahli akademik atau Hantu-hantu raya belaan UMNO-Barisan Nasional?

Setelah kalah, tiba-tiba terpacul perkataan tidak stabil. Racauan apa pula ni? Ini bukan sakit kepala tetapi kepala pening. Ini bukan sakit hati teapi sakit jiwa yang kronik.

Cukup-cukuplah UMNO. Tiada lagi talian hayat untuk kelompok hantu seperti anda.

Monday, July 28, 2008

Karpal Singh Yang Suka Meracau









Hari ni pagi-pagi lagi TH Kee telefon aku. Katanya Karpal Singh meracau lagi. Aku terus turun ke bawah untuk belikan akhbar untuk tahu apa racauan Karpal Singh kali nih.


Tajuk akhbar - PR perlu kaji semula kedudukan PAS dalam PR (SINAR HARIAN Isnin 28 Julai 2008)


Aku amati dan aku baca berulang kali apa yang beliau cuba bangkitkan. Katanya, "Selepas pilihanraya umum pada 8 Mac, PAS mengadakan perbincangan dengan UMNO bagi membentuk kerajaan campuran di Selangor. Tindakan ini berniat jahat kerana DAP dan PKR tidak dimaklumkan tentang perkara ini."


Pertama - "Selepas pilihanraya umum pada 8 Mac, PAS mengadakan perbincangan dengan UMNO bagi membentuk kerajaan campuran di Selangor."


Persoalan - Hanya sumber UMNO yang menyebutkan mengenai Kerajaan Campuran BN-PAS dan tidak ada sumber selain daripada sumber UMNO yang menyebutkan sedemikian. Umum mengetahui bahawa "Kerajaan Campuran BN-PAS ini hanyalah peluru UMNO untuk melemahkan dan seterusnya menghancurkan Pakatan Rakyat. Jelas sekali Karpal Singh telah terkena tembakan peluru itu. Beliau telah menari di pentas yang disediakan UMNO untuk menyembelih Pakatan Rakyat. Lebih malang lagi, beliaulah yang mungkin menyembelih Pakatan Rakyat.


Kedua - "Tindakan ini berniat jahat kerana DAP dan PKR tidak dimaklumkan tentang perkara ini."


Persoalan - Atas alasan apa PAS perlu memaklumkan kepada DAP dan PKR terlebih dahulu? Adakah DAP atau PKR mengetuai Pakatan Rakyat? Adakah PAS merupakan parti kelas dua yang menganggotai Pakatan Rakyat? Adakah PAS hanya diperlukan ketika Pilihanraya Umum sahaja? Sedarkah Karpal Singh bahawa perbincangan itu berlaku ketika Pakatan Rakyat belum ditubuhkan? Bukankah tindakan yang dilakukan itu sedikit sebanyak telah mengalihkan perhatian UMNO terhadap penubuhan Pakatan Rakyat? Sukarkah untuk seorang peguam kanan seperti beliau untuk memahami tindakan berbentuk strategi? Sedarkah beliau bahawa komunikasi di luar mahkamah adalah jauh berbeza dengan komunikasi di dalam mahkamah? Di sini juga jelas menunjukkan beliaulah yang akan menyembelih Pakatan Rakyat di hadapan rakyat yang telah memberi undi kepada Pakatan Rakyat.


Jika kita perhatikan dan telitikan, sejak di era Barisan Alternatif lagi Karpal Singh adalah individu yang paling banyak mengeluarkan kenyatan yang bersifat kontroversi dan provokasi ke atas rakan-rakan Barisam Alternatif sehingga hancurnya Barisan Alternatif. Bukankah ini dengan jelas menunjukkan beliau adalah pemimpin Barisan Alternatif yang paling kerap termakan provokasi UMNO-BN?


Sekarang beliau telah terjun ke laluan yang sama. Tanpa disedari telah menjadi kuda trojan UMNO-BN untuk menyembelih Pakatan Rakyat.


Sedarkah beliau bahawa ketara sekali bahawa undi Melayulah yang memenangkan DAP di banyak kawasan? Bukan undi Melayu ini datangnya daripada ahli-ahli PAS? Bukankah undi-undi Melayu ini datangnya daripada ahli-ahli UMNO yang telah berjaya didekati oleh PAS?


Karpal Singh perlu bertanya kepada diri sendiri soalan "Apakah yang beliau lakukan untuk menarik undi Melayu kepada Pakatan Rakyat amnya dan kepada DAP khususnya?" Jawapannya mudah - "Tidak ada apa-apa".


Sedarkah beliau bahawa UMNO-BN tidak perlu membeli MP atau ADUN Pakatan Rakyat untuk menghancurkan Pakatan Rakyat tetapi cukup hanya dengan melaga-lagakan komponen Pakatan Rakyat. Karpal Singh secara tidak langsung telah membuktikan bahawa beliau telah muncul sebagai ayam laga UMNO-BN untuk bertempur dengan rakyat Malaysia.


Sila komen.

Sunday, July 27, 2008

Bubar UMNO Bubar PAS Tubuh Parti Baru Berlandaskan Islam

Artikel bertarikh 26 Julai 2008 berkaitan cadangan ini telah disiarkan di portal malaysiakini.

Saya tertarik dengan pandangan Tuan Guru ini. UMNO tunjuk di mana silapnya Islam yang dipegang oleh PAS dan PAS tunjuk betapa tidak Islamnya UMNO. Jika UMNO dan "ulama" UMNO ada maruah dan harga diri, pasti tercabar dengan pernyataan ini.

malangnya, seperti yang kita semua sedia maklum, "ulama" UMNO hanya akan berdiam diri kerana sememangnya mereka tidak mempunyai hujah untuk menafikan betapa jujurnya PAS memikul amanah dakwah ini.

UMNO Semakin Merapu dan Pastikan PAS Tidak Turut Meracau

Hari ni ada lagi berita di media cetak yang menyebutkan bahawa muzakarah/muqabalah di antara UMNO dan PAS akan diteruskan. Yang bersuara itu merupakan "orang-orang" UMNO. Nampak sangat terhegeh-hegeh.

Tak cukup lagi ker dengan segala tekanan dan pengkhianatan yang korang lakukan kepada PAS di Kelantan? 18 tahun bukanlah tempoh yang singkat. Kami para pejuang PAS tidak pernah lupa dan tidak akan sekali kali memadamkan pengalaman pahit ini daripada ingatan kami.

bila dah kalah, dah nyawa-nyawa ikan, baru teringatkan perpaduan Melayu. maka dihulurkanlah tangan kepada PAS. Apa ertinya semua ini? Untuk perpaduan Melayu dan Islam atau untuk survival Pak Lah dan UMNO?

SEmasa tempoh berkempen PRU Ke-12 dulu bukan main lagi. apa yang UMNO tak kata kepada PAS? Apa yang UMNO tak serang PAS? Ibarat kata Ku Li, di Kelantan, UMNO menyerang PAS ibarat Perang Salib. Ku Li pun bersimpati dengan PAS.

Mungkin pimpinan PAS punya alasan untuk meneruskan muzakarah/muqabalah ini tetapi fikir-fikirkanlah juga hati dan perasaan kami yang berada di barisan hadapan ini kerana luka mungkin sembuh tetapi parut tak mungkin hilang.

Kami tidak mahu menjadi kera sumbang seperti mana yang dikhuatiri oleh Mursyidul Am. Kami juga tidak mahu menjadi pariah di arena politik Malaysia. Tidak mungkin akan wujud lagi kepercayaan yang seperti ini sekiranya PAS mengkhianati amanah rakyat dengan menubuhkan pakatan bersama UMNO/BN. Rakyat memberikan sokongan padu kepada PAS kerana yakin PAS adalah PAS bukan kerana rakyat mahu PAS bersekongkol dengan UMNO.

Jika alasan "dakwah" itu dijadikan sebagai dalil yang menghalalkan muzakarah/muqabalah UMNO-PAS, nampak sangatlah Dewan Ulama PAS PUsat tak buat homework. Nampak sangat Dewan Ulama PAS Pusat tidak ada beza dengan ulama Hadhari yang hanya mengeluarkan pandangan sekiranya sesuatu perkara itu telah menjadi isu.

Jika kita beranggapan bahawa sesuatu perkara itu tidak boleh dipertikaikan sekiranya telah dipersetujui oleh Dewan Ulama PAS Pusat, maka salahlah anggapan kita itu kerana ahli Dewan Ulama PAS PUsat itu sendiri merupakan manusia seperti kita dan mereka tetap mempunyai kelemahan dan risiko terlepas pandang itu tetap ada. Yang membezakan kita dan mereka hanyalah ilmu.

Ketaatan mutlak hanyalah milik Allah swt dan Rasul-Nya. Janganlah kita menyembah manusia walaupun seorang ulama. Kita amat menyanjung tinggi golongan ulama tetapi jangan sampai kita terlepas pandang kelemahan-kelemahan pada ulama. Bersama kita memohon keampunan, keberkatan dan keredhaan daripada Allah swt.

Saturday, July 26, 2008
























RENUNGI WAJAH WAJAH INI SETIAP KALI KEMARAHAN CUBA MENGUASAI DIRI ANDA..INSYAALLAH ANDA PASTI TENANG DAN WARAS




Cadangan Untuk Anda Para Pemuda Yang Cintakan Keadilan

Aku ada satu cadangan yang aku harap rakan-rakan sekalian dapat berikan pandangan supaya kerja baik yang sedang kita buat ni lebih bermakna. Apa kata kita anjurkan suatu program Hari Keluarga yang betul-betul santai supaya kita dapat kenal dengan lebih mesra dan rapat lagi? Aku sanggup kendalikan program ni jika rakan-rakan sekalian bagi kepercayaan kepada aku dengan syarat rakan-rakan sekalian beri kerjasama penuh. Apa pandangan anda semua?

Mungkinkah Para Pemuda Yang Bertungkus-lumus Berjuang Dengan PAS Akan Terus Bersama PAS Jika PAS Berpakat Dengan Barisan Nasional?









Aku kadang-kadang susah hati memikirkan sama ada apa yang berada di fikiran aku nih akan jadi kenyataan atau tidak. Bukan apa, aku sayang PAS kerana penglibatan aku dalam PAS yang membuatkan aku pandai berdikari dan kreatif berfikir. Jika PAS berpakay dengan Barisan Nasional, mungkinkah pemuda yang seperti aku nih akan terus berjuang bersama PAS atau akan mengikut haluan sendiri sahaja.

Pemuda seperti kami ni memang tidak ada ilmu. Kami bersama PAS kerana mengharapkan ilmu-ilmu yang penuh berkat yang dimiliki oleh ustaz-ustaz dan Tok Guru-Tok Guru PAS akan tempias kepada kami. Buktinya penglibatan aku dalam PAS telah membuatkan aku boleh membaca al-Quran dengan betul, mampu menjadi imam, mampu memimpin tahlil, mampu memandikan jenazah dan sebagainya. Pada aku, semua ini merupakan keberkatan dan ilmu yang aku perolehi sepanjang aku berada dalam PAS dan tidak mungkin semua ni aku perolehi jika aku berada dalam UMNO. Ini satu hakikat yang perlu diakui oleh semua dan pastinya tidak mampu dinafikan oleh sesiapa pun.

Pilihanraya sudah lama berlalu. Syukur kerana PAS berjaya bersam-sama rakan Pakatan Rakyat. Namun, angin kegembiraan ini tidak lama bertiup kerana entah dari mana tiba-tiba berita PAS sedang berpakat dengan UMNO tersebar.

Memang pada mulanya aku anggap semua ini hanya racun-racun munafik yang sedang disebarkan oleh lanun-lanun UMNO yang sedang terdesak dan tertekan tetapi alih-alih Datuk Seri Tuan Guru Presiden PAS pula mengakui memang ada pertemuan dengan Presiden UMNO. Alamak!!! Apa nih??!!!

Memang terkejut beruk aku dibuatnya. Mana tidaknya, aku masuk PAS kerana aku benci, meluat dan menyampah dengan peri laku UMNO. Tiba-tiba PAS pula khabarnya akan bekerjasama dengan UMNO. Maknanya, jika kerjasama ini berlaku bererti aku menyokong UMNO. Ini yang aku nak marah nih.

Dalam pening-pening tu, tiba-tiba Tuan Guru Datuk Mursyidul Am pula kata hentikan muzakarah kerana akan merugikan dan memecahkan PAS. lega juga rasanya. Malangnya, tidak lama selepas tu, Datuk Seri Tuan Guru Presiden PAS pula kata pertemuan yang telah berlaku itu telah mendapat restu Dewan Ulama PAS. Apa nih??? Macam tak ada perbincangan jer. Pening betullah. Plslah. Janganlah seksa kami yang sedang mendaki gunung jihad nih.

Memang aku faham ini merupakan permainan media milik UMNO tetapi aku adalah manusia yang punya hati dan perasaan. cuak aku kalau macam nih.

Apa aku nak kata kepada rakan-rakan bukan Islam yang telah menyokong PAS kerana tertarik dengan ketelusan dan keadilan yang PAS tunjukkan.

Apa-apa pun, aku bersyukur kepada Allah swt kerana menggerakkan hati YB Ir Haji Khalid Samad untuk mendedahkan secara agak terperinci serba sedikit isi kandung perbincangan yang berlaku ketika pertemuan tersebut berlangsung. Lega rasanya.

Buat rakan-rakan pemuda Islam dan bukan Islam yang telah bertungkus-lumus siang dan malam untuk memenangkan PAS dan rakan Pakatan Rakyat, teruskan perjuangan anda kerana Barisan Nasional belum hancur dan belum masuk muzium lagi. Selagi ada Barisan Nasional nih, selagi itulah kita akan ada Melayu, Cina, India dan lain-lain.

Ingat, kita sudah lama tertipu dan jangan terus-menerus di tipu. Apa komen anda semua?