Wednesday, July 30, 2008

Luahan Rasa Saudara Hj Hanipa Maidin berkaitan isu muzakarah/muqabalah

Saturday, July 26, 2008

PAS MUNGKIN AKAN SUKAR DIPERCAYAI LAGI SELEPAS INI

Oleh : Mohamed Hanipa Maidin

Apa yang saya tulis diblog ini adalah pendapat peribadi saya. Saya tidak menulis atas kapasiti sebagai ahli jawatankuasa PAS Pusat. Tulisan ini menggambarkan betapa frustnya saya ( dan mungkin juga ahli-ahli PAS yang lain ) apabila Dato’Presiden PAS mengakui bahawa terdapat pertemuan antara Timbalan Presiden PAS dengan Presiden UMNO di Parlimen .

Terus terang sebagai ahli Jawatankuasa PAS Pusat ,saya tidak mempunyai pengetahuan langsung pertemuan antara Timbalan Presiden PAS dengan Presiden UMNO di Parlimen. Presiden PAS menyatakan ianya dimaklumkan kepada beliau dan Majlis Syura Ulama’. Saya kurang faham dengan alasan ini. Setahu saya Majlis Syura akan hanya dilibatkan jika isu ini melibatkan soal hukum.

Saya tidak nampak pertemuan dengan UMNO melibatkan soal hukum . Ia lebih kepada isu strategi- di bawah bidangkuasa Jawatankuasa PAS Pusat. Tidak mengapa, saya akan bertanyakan hal ini di dalam mesyuarat AJK PAS Pusat nanti. Saya tidak pernah percaya kepada UMNO. Atas dasar itu saya menyokong PAS sejak dibangku sekolah lagi .

Saya orang Johor. Saya menyokong PAS ketikamana orang di negeri saya masih memandang PAS sebagai satu parti yang begitu asing. Saya menyokong PAS kerana yakin bahawa Parti tersebut ingin mendaulatkan Islam. UMNO adalah parti yang banyak jenayahnya terhadap Islam. Kesalahan ulung UMNO adalah mencipta Islam hadhari.

Presiden PAS menulis sebuah buku bagi menyerang Islam Hadhari kerana Islam Hadhari telah membawa umat Islam keliru dengan Islam yang diajar oleh Allah dan RasulNya.Pilihanraya yang lepas UMNO bermatian-matian ingin merampas Kelantan- sebuah negeri yang diperintah oleh PAS .

Kelantan adalah benteng terakhir untuk Islam didaulatkan di negara ini. Saya mengakui saya masih belum berpuashati dengan perlaksanaan Islam di Kelantan. Gelagat sesetengah pemimpin PAS di Kelantan amat memualkan hati saya meskipun saya adalah ahli dan pemimpin PAS. Kelantan bukan model yang terhebat di dalam mendaulatkan Islam di negara ini. Ini tidak pelik kerana berdasarkan sistem federalism yang diamalkan di negara ini kuasa Kerajaan Kelantan untuk menegakkan Islam di dalam erti kata yang sebenarnya terhalang oleh banyak halangan .

Namun siapa boleh menafikan bahawa Kelantan telah banyak berusaha melaksanakan Islam yang jauh lebih baik jika dibandingkan sebelum PAS mengambil alih pada tahun 1990.Saya penuh yakin Tuan Guru Nik Aziz telah berusaha keras untuk mendaulatkan Islam di Kelantan. Moga Allah merahmati beliau di atas usaha murninya itu. Atas dasar itu saya sama sekali tidak boleh menerima tindakan UMNO yang bermatian-matian ingin merampas Kelantan dari PAS.

Sahabat saya Y.B Salahudin menyatakan kepada saya semasa tempoh kempen pilihanraya yang lalu, beliau dapat meraskan betapa cemasnya pemimpin PAS dengan serangan hebat UMNO yang ingin merampas balik Kelantan.Bagaimanapun kuasa Allah menentukan segala-galanya. Hasrat dan niat jahat UMNO ingin merampas Kelantan menyaksikan Kerajaan PAS kekal dengan selesa di Kelantan sebaliknya lima buah negeri yang diperintah oleh BN/UMNO sebelum pilihanraya yang lepas dirampas oleh Pakatan Rakyat.

Saya juga tidak akan lupa betapa jahatnya UMNO menggunakan taktik paling kotor untuk menjatuhkan Kerajaan PAS di Trengganu. Rakyat Trengganu yang menyokong PAS didera dengan hebat seperti menarik balik royalti petroleum. Menteri Besar Trengganu yang sekarang ini dan UMNO Trengganu juga tidak pernah bersuara menentang tindakan zalim UMNO Pusat menarik balik royalti petroleum. Kini lepas Mahathir tidak berkuasa baru mula berani bercakap. Saya tidak hormati langsung Menteri Besar seperti ini. Apabila Pemimpin Pas Trengganu berjumpa beliau baru-baru ini ianya amat memualkan saya.

Telah menjadi pengetahuan umum sokongan orang bukan Islam menentukan kemenangan Pakatan Rakyat dan menumbangkan UMNO/BN. Meskipun media tajaan UMNO tidak henti henti cuba melakarkan PAS sebagai parti yang melampau/ekstrem dan pelbagai lakaran yang negatif, orang bukan Islam tetap menyokong PAS. Sokongan kaum India menyebabkan Dr Mariah menjadi calon PAS yang menang dengan manjoriti yang paling besar . Meskipun saya kalah di Tangjung Karang namun sokongan pengundi Cina dan India memihak kepada saya.

Sokongan kaum non muslim kepada PAS Alhamdulillah berterusan selepas pilihanraya. Di Puchong telah ada penyokong PAS dari kaum India yang telah memeluk Islam. Ini satu perkembangan yang amat memberangsangkan. Ada kaum India yang membubarkan cawangan MIC dan menubuhkan kelab penyokong PAS. Calon tajaan PAS di Ulu Tiram , Johor saudari Kumutha meminta ahli PAS mendoakan agar beliau terus bersama kepimpinan Ulama PAS.

Permintaan kaum bukan Islam untuk menubuhkan kelab penyokong PAS semakin hari semakin meningkat. Malahan ahli-ahli kelab penyokong PAS merayu ingin menjadi ahli PAS dan meminta PAS bertindak segera menerima mereka sebagai ahli. Malangnya semuanya ini kini mula bertukar sedikit demi sedikit apabila PAS terjebak sekali lagi dengan permainan licik UMNO. UMNO mencanangkan dan memainkan gendang muzakarah. PAS yang kita tahu dipimpin oleh orang-orang yang baik malangnya termakan dengan umpan jahat dan busuk UMNO.

Nabi Muhammad s.a.w bukan sahaja baik dan digelar al-amin Baginda juga mempunyai sifat fathonah ( bijaksana ). Di dalam politik fathonah amat berguna.Orang bukan Islam mula bertanya adakah PAS telah mengkhianati sokongan mereka. Semasa pilihanraya lalu kami menolak politik perkauman UMNO dan tertarik dengan mesej PAS iaitu “PAS FOR ALL” yang sesuai dengan sifat Islam yang universal. Tapi, keluh orang bukan Islam, kenapakah PAS kini mula bercakap senada dengan UMNO. Hanya beberapa bulan pilihanraya berlalu, kenapakah PAS bersedia merapati UMNO semula. UMNO yang semakin lemas kini cuba diselamatkan oleh PAS.Ini keluhan yang serius.

Pemimpin PAS khususnya Presiden dan Timbalannya harus peka dengan keluhan ini . Meringankan hal ini “is at our own peril”Ya, Pakatan Rakyat adalah satu Pakatan yang longgar. Banyak kelemahan di sana sini. KEADILAN ada kelemahannya. DAP ada kelemahannya. PAS juga ada kelemahannya. Tetapi di sana ketiga-tiga Parti tersebut ada kekuatan yang dikongsi bersama. Kekuatannya adalah ketiga-tiga benci dan menentang kezaliman yang UMNO lakukan. Ketiga-tiganya bencikan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Ketiga-tiganya mejuarai isu rakyat Ketiga-tiganya sedang berusaha keras ingin menunaikan janji kepada rakyat sepertimana yang dinyatakan di dalam manifesto mereka.

Kekuatan inilah yang akan melahirkan satu ledakan yang kuat yang akan menghancurkan UMNO pada masa pilihanraya umum yang akan datang. Saya tidak pasti orang bukan Islam, Parti KEADILAN dan DAP akan terus mempercayai PAS selepas ini. Saya harap mereka masih percaya. Tapi secara realistik saya yakin mereka ,kalau pun tidak hilang kepercayaan kepada PAS , tetap kurang percaya kepada PAS. Kalau mereka hilang kepercayaan kepada PAS saya berani mengatakan ianya akibat percaturan salah sesetengah pemimpin PAS dan PAS terpaksa membayar harga yang mahal terhadap percaturan salah tersebut. Adakah PAS boleh dianggap mengkhianati sokongan orang bukan Islam ? Hanya masa yang menentukan !!!


Komen aku pula berbunyi begini : -

Assalamu 'alaikum........

Buat komen memang sedap tetapi untuk menjiwai sesuatu isu memang sukar. Ramai di kalangan kita hanya pandai mengulangi apa yg orang lain cakap tetapi gagal untuk meluahkan rasa hati dan buah fikiran sendiri.

Berada dalam saf pimpinan sememangnya berada dekat dengan pimpinan atasan tetapi tidak bermakna boleh sentiasa mendekati pimpinan atasan.

Berada dalam saf pimpinan sememangnya membuatkan kita dekat dengan kuasa membuat keputusan tetapi mampukah kita menjiwai rasa hati pejuang yang berada di pelusuk kampung yang bertungkus-lumus menangkan PAS?

Berapa ramai di kalangan pimpinan yang gagal membuang jauh jurang pimpinan-pengikut setiap kali turun berceramah di kampung-kampung?

Berapa ramai di kalangan pimpinan yang akan terus menghukurkan tangan bersalam dan mendekati ahli setiap kali ahli tersenyum kepada pimpinan?

Berapa ramai pula pimpinan yang turun ke kampung-kampung macam tuan-tuan ladang turun ke estet-estet untuk bertemu dengan para pekerja?

Jangan dipersoalkan tentang ketaatan kepada jemaah sekiranya semua permasalahan dan persoalan tadi gagal untuk kita jiwai.

Saya sedikit tersinggung dengan beberapa komen sebelum ini. Apabila Sdra Hanipa menulis berkaitan isu muzakarah atau muqabalah ini atas tiket peribadi, ramai yang cenderung menggambarkan Sdr Hanipa sebagai tidak begitu wala' kepada pimpinan PAS. Sedarkah ikhwan sekali bahawa pandangan ikhwan sekalian sama seperti komen-komen pimpinan UMNO setiap kali ahli akar umbi mereka bersuara? Nampak macam ahli bawahan tidak punya ruang untuk bersuara dan meluahkan pandangan.

Maaf jika saya sedikit emosional tetapi inilah hakikat yang perlu diakui sebelum kita menjatuhkan hukum. Pandang dan nilaikanlah sesuatu perkara itu atas rasional dan dengan hati yang terbuka. Janganlah taksub dengan mana-mana individu kerana hanya ketaatan kepada Allah swt dan Rasul-Nya sahaja yang merupakan ketaatan tanpa syarat.

No comments: