Sunday, August 31, 2008

PERMATANG PAUH - TABIK UNTUK SEMUA PETUGAS

Umum mengetahui tentang kemenangan di P44 Permatang Pauh. Tahniah untuk rakyat Malaysia dan takziah buat UMNO-BN.

Aku berada di sana bermula dari 20hb jika tidak silap sehinggalah sehari selepas kemenangan dicapai. Terlalu banyak suka duka. Terlalu banyak kemanisan dan kepahitan yang dilalui. Walau apa pun, semua itu adalah asam garam perjuangan.

Aku tak bercadang nak mengulas panjang soal kemenangan kerana kemenangan itu telah dicapai walaupun perjalanan menuju kejayaan sebenar itu masih jauh. Apa yang aku nak ulas hanyalah tentang sikap kita dari sudut menjana kemenangan, menangani kemenangan dan mempertahankan kemenangan.

Tempoh masa lebih kurang 10 hari sehinggalah menjelangnya hari mengundi di Permatang Pauh adalah suatu tempoh masa yang menyaksikan kebanjiran petugas parti ke daerah pinggir bandar ini. Tak semena-mena penduduk Permatang Pauh terpaksa mengharungi kesesakan jalanraya yang jauh luar biasa daripada biasa. Semuanya gara-gara kebanjiran petugas pilihanraya.

Pernahkah kita terfikir, adakah yang membanjiri jalan-jalanraya itu merupakan benar-benar petugas pilihanraya atau hanya sekadar pelancong pilihanraya? Memang benar mereka ini datang atas nama parti. Memang benar kenderaan mereka di "make-up" seperti kenderaan milik parti. Namun, di manakah mereka ketika petugas parti diperlukan? Apa fungsi kelompok ini ketika proses berkempen? Kelompok inilah di antara faktor penyumbang kepada kesesakan jalanraya di Permatang Pauh.

Kelompok ini ke hulur ke hilir menziarahi Bilik Gerakan demi Bilik Gerakan dan tanpa segan silu memperkenalkan diri sebagai petugas daripada Wilayah namun hakikatnya mereka tidak melakukan apa apa tugasan pun. Hanya bermodalkan pas petugas yang bergantungan di leher sahaja.

Ketika waktu siang, selepas menghabiskan sarapan pagi yang disediakan untuk para petugas, kelompok ini akan merayau ke sana sini lagak seorang YB melawat kawasan dan akan kembali semula ke kawasan penempatan ketika waktu senja. Kemudiannya menyesakkan bilik mandi sebelum kelura semula untuk mendengar ceramah dan kembali semula untuk menyesakkan ruang tidur. Itu sahaja aktiviti mereka.

Memang akan ada yang terluka dan terhiris dengan apa yang ditulis ini tetapi inilah hakikat yang akan diakui oleh semua yang hadir ke Permatang Pauh.

Itu satu hal.

Pujian harus diberikan kepada petugas Wanita Pakatan Rakyat yang bertugas di Bilik Gerakan Simpang Tiga Kubang Ulu. Kelompok ini tidak jemu jemu keluar merayu undi rumah ke rumah hampir setipa hari bermula jam 9 pagi sehinggalah jam 6 petang. Mereka tetap istiqamah walaupun menghadapi cabaran.

Kenapa "petugas" lelaki yang ada ramai-ramai tu tak tergerak hati untuk mencontohi kelompok ini? Ataupun sekurang kurangnya menemani kelompok nenek-nenek ini? Adakah kehadiran "petugas" lelaki ini hanya sekadar menjadi pengulas politik tidak bertauliah sahaja?



No comments: