Wednesday, August 13, 2008

Pandangan Seorang Moderator Dialog Perbandingan Agama

Salam untuk semua.....
Semua tahu apa yang berlaku di hadapan pada hari Sabtu 9 Ogos 2008. Semua terpinga-pinga. Orang Islam terpinga-pinga kerana "mereka(1)" sudah melampau. Orang bukan Islam pula terpinga-pinga kerana "mereka(2)" telah menunjukkan sikap yang sebenar.
Nota : "mereka(1)" - orang bukan Islam dan "mereka(2)" - orang Melayu Islam.
Perkara ini sebenarnya perlu dilihat dari sudut yang positif. Maksud saya, suasana panas itu sebenarnya dapat dielakkan sekiranya dikendalikan dengan cara yang cukup berhemah tanpa perlu marah-marah (dipihak "mereka(1)") dan tanpa perlu gopoh (dipihak "mereka(2)").
Biar saya ulas dahulu kegopohan dan keserabutan pemikiran Majlis Peguam. Kita amat memahami bahawa Majlis Peguam adalah diantara pihak yang cukup faham tentang perundangan di negara ini. Namun harus disedari bahawa negara yang penuh "sentimen" ini perlu dikendalikan dengan penuh bijaksana supaya "sentimen" itu tidak menjadi "sensitif".
Kita amat memahami bahawa keperluan untuk membincangkan perkara "sentimen" ini sememangnya amat perlu supaya kekeliruan yang wujud dapat diperjelaskan. Kita meyakini bahawa sekiranya perkara "sentimen" ini tidak dibincangkan hari ini, maka akan tetap diperbincangkan oleh generasi akan datang.
Keterbukaan dalam membincangkan sesuatu perkara adalah amat perlu tetapi haruslah disedari bahawa "keterbukaan dalam membincangkan" tidak membawa maksud "membincangkan secara terbuka". Majlis Peguam mungkin gagal memahami "sentimen" ini walaupun kita meyakini mereka memahami "klausa" perundangan yang mahu dibincangkan itu.
Seharusnya Majlis Peguam mengadakan perbincangan secara terbuka dari sudut pemahaman, pemikiran dan percambahan idea dengan pihak-pihak seperti JAKIM, IKIM dan sebagainya dan bukannya mengadakan perbincangan terbuka dari sudut suasana dan lokasi seperti yang telah berlaku itu.
Perkara "sentimen" ini sememangnya perlu dihuraikan dengan penuh cermat supaya tidak bertukar menjadi "sensitif". Adakah Majlis Peguam akan memikul tanggungjawab penuh sekiranya "sentimen" ini bertukar menjadi "sensitif"?
Mungkin kejayaan menganjurkan forum berkaitan hak-hak istimewa Melayu membuatkan Majlis Peguam menemui keyakinan untuk mengorak langkah seterusnya. Harus disedari oleh Majlis Peguam bahawa sekiranya isu hak-hak istimewa orang Melayu itu diperbincangkan, tidak semua orang Melayu "sensitif" dengannya kerana isu ini akan dianggap isu politik sahaja. Namun, sekiranya isu Islam diperbincangkan, ketahuilah bahawa seluruh umat Melayu tidak kira PAS, UMNO atau PKR, seluruh orang Islam tidak kira Melayu Islam, Cina Islam, India Islam dan penganut Islam daripada bangsa lain juga akan bangkit dan mempertahankan Islam yang cuba diganggu itu.
Buktinya, ketika perhimpunan tersebut berlangsung, tidak ada sesiapa pun datang atas nama parti politik. Ahli PAS datang sebagai seorang Islam. Ahli PKR datang sebagai seorang Islam. Ahli UMNO datang sebagai seorang Islam. Saudara Muhammad Hin Tze Yang datang sebagai seorang Islam. Saudara Gandhi Abdullah juga datang sebagai seorang Islam. Ini dengan jelas menunjukkan bahawa yang menentang itu bukan hanya orang Melayu tetapi umat Islam seluruhnya.
Saya amat pasti bahawa Majlis Peguam juga menyedari bahawa isu ini boleh dibincangkan secara ilmiah atau secara akademik di antara persatuan dengan persatuan. Mungkin di antara Majlis Peguam-GPMS. Atau mungkin Majlis Peguam-PMIUM. Mungkin di antara Majlis Peguam-ABIM. Atau mungkin bersama JIM, JAKIM atau sebagainya. Namun, apakan daya. Keterlanjuran tidak mungkin dapat dipulihkan dalam jangka masa yang pendek kerana luka mungkin sembuh tetapi parut tidak mungkin hilang.
Itu perkara pertama.
Perkara kedua yang perlu dimuhasabah pula adalah sikap dan pendekatan orang-orang Islam itu sendiri dalam menangani permasalahan ini. Sebelum terlupa, saya secara peribadi ingin mengucapkan tahniah kepada kekanda-kekanda YB Haji Salahuddin Ayub, YB Haji Zulkifli Nordin, Kekanda Jais Abdul Karim dan seluruh umat Islam yang terguris dengan keterlanjuran dan "kebiadapan" Majlis Peguam ini.
Umum mengetahui bahawa Majlis Peguam bercadang mahu menganjurkan forum ini. Banyak pihak, baik parti politik, NGO mahupun pertubuhan pelajar yang membantah penganjuran forum ini. Kita bangga dengan bantahan-bantahan ini kerana sensitiviti di hati umat Islam negara ini masih tinggi walaupun racun sekularisme di mana-mana.
Namun, apa yang ingin saya utarakan di sini adalah ada atau pun tidak mana-mana pertubuhan ini berjumpa secara bersemuka dengan Majlis Peguam bagi menyatakan bantahan terhadap penganjuran ini? Bantahan menerusi sidang akhbar, ya ada. Bantahan menerusi surat bantahan, ya ada. Bantahan menerusi siaran media, ya ada. Bagaimana pula bantahan secara bertemu muka dengan Majlis Peguam? Adakah ini berlaku? Saya secara peribadi langsung tidak mendapati bantahan berbentuk bersemuka ini dilakukan.
Saya berpandangan bahawa sekiranya bantahan bersemuka ini dilakukan oleh beberapa orang wakil pelbagai pertubuhan, persatuan dan pergerakan yang bertulangbelakangkan umat Islam, maka pasti Majlis Peguam akan membatalkan forum itu sejak dari awal lagi. Hatta, Pak Menteri pun hanya membentah menerusi media sedangkan Pak Menteri mempunyai kuasa untuk say YES or say NO kepada Majlis Peguam.
Bagaimana pula dengan PDRM? Ke mana hilangnya kesungguhan PDRM untuk memelihara keamanan dan ketenteraman awam? Cukupkah dengan hanya mengeluarkan kenyataan "menasihati Majlis Peguam untuk tidak meneruskan forum tersebut"?
Yang bersalah adalah Majlis Peguam. Janganlah dimakihamun orang Cina dan India. Yang bersalah adalah Majlis Peguam. Janganlah dimakihamun orang bukan Islam seluruhnya. Saya amat yakin tidak semua orang Islam bersama-sama dengan Majlis Peguam walaupun keanggotaan Majlis Peguam itu majoritinya adalah peguam bukan Islam.
Saya amat memahami kemarahan di hati umat Islam tetapi janganlah dibiarkan kemarahan itu membakar benteng rasional dan kebijaksanaan yang Allah swt kurniakan kepada kita. Lakukanlah tindakan yang lebih berhemah dan bijaksana kerana ini merupakan unsur-unsur awal yang akan diikuti oleh unsur-unsur yang lebih mencabar di masa hadapan.
Buat umat Islam, terlalu banyak perkara yang perlu kita berikan perhatian selain membantah penganjuran forum ini. Kita perlu memberikan perhatian berkaitan kurangnya perhatian terhadap sistem pentadbiran secara Islam. Maksudnya, keterbukaan dan ketelusan pentadbiran.
Sebagai umat Islam yang insyaAllah beriman, kita juga seharusnya sensitif terhadap isu rasuah, akhlak, tingkahlaku dan sebagainya. Bagaimana kroniknya keadaan remaja Islam pada hari ini juga perlu diberikan perhatian serius atas dasar iman. Malangnya, kita gagal. Kita gagal mempertahankan iman tetapi dalam masa yang sama kita mahu mempertahankan Islam. Keserabutan ini sangat jelas.
Kita tidak kisah anak gadis kita tidak menutup aurat tetapi kita sensitif dengan ganggugugat sekelompok manusia yang berada di dalam Majlis Peguam sedangkan kedua-duanya menuju ke neraka.
Kita tidak sensitif dan langsung tidak berasa apa apa melihat anak remaja kita menjadi pengunjung setia kelab-kelab malam tetapi menjadi sangat sensitif apabila seorang Islam memperkatakan sesuatu tentang Islam sedangkan kedua-duanya menuju ke neraka.
Sebagai penutup, tahniah buat semua umat Islam yang masih ada iman walaupun jarang-jarang membasuh daki-daki yang masih mengotori hati kita. Semoga Allah swt mengampuni, memberkati dan merahmati kita semua. Ameen.

No comments: